Banyak yang hendak diperkatakan apabila melawat ke kawasan Orang Asli atau lebih tepatnya Orang Seletar yang bertempat berhampiran Taman Perling yang tidak jauh dari bandaraya Johor Bahru. Pembangunan yang berlaku di kawasan sekitarnya tampak jelas kepada sesiapa sahaja yang akan berkunjung ke sini.
Sekali lagi JohorSketchers dapat mencari kawasan untuk merakamkan dengan lukisan atau lakaran yang mampu menjadi bahan penting di masa hadapan tak kira secara umum atau persendirian. Perancangan awal telah dibuat dengan menaikkan poster aktiviti di laman Facebook JohorSketchers.
Tempat pertemuan telah
ditetapkan dan seperti biasa aktiviti dimulakan dengan berkumpul untuk
sesi berborak sambil bertanya khabar. Sesi ini adalah amat penting dan
boleh memakan masa yang agak panjang disebabkan pertemuan sesama ahli
adalah pada waktu aktiviti berlangsung.
Masing-masing akan mengambil tempat yang sesuai untuk berkarya setelah berpuas hati dengan sedikit info terkini dari setiap yang hadir. Kawasan yang agak redup akan menjadi tumpuan kerana kepanasan pagi akan membuatkan tenaga merosot dan akan menghilangkan mood untuk menghasilkan yang terbaik.
Kehadiran kami di sini tidak disambut dengan sebarang bunyi-bunyian atau tarian dari penduduk setempat. Tetapi kami tetap merasakan kedatangan JohorSketchers sedikit sebanyak memberi senyuman kepada anak-anak kecil yang sangat teruja melihat hasil lukisan yang mengambarkan kehidupan mereka yang agak terpinggir dari masyarakat sekitar.
Setelah hampir 3 jam setiap pelakar bertungkus lumus menghasilkan yang terbaik, sesi bergambar dan mempamirkan lakaran masing-masing seperti biasa berlangsung dengan amat ceria sekali.
Sesi melakar disambung lagi berhampiran dengan kawasan kampung orang asli di mana kedudukannya yang agak selesa dan terlindung dari pancaran matahari iaitu di bawah jambatan laluan Nusajaya-Johor Bahru.